Rabu, 16 April 2014

Cerita Rahsia Kejayaan Puan Rozita Ibrahim




Tokoh usahawan kali ini saya pilih di sebabkan rahsia kejayaan beliau yang sangat menamat hati saya kerana beliau memang sangat berusaha untuk berada di tahap sekarang. Dengan kisah kejayaan yang di bawah ini, memang beliau betul-betul layak dengan kedudukan dan kesenangan yang beliau kecapi sekarang
Ini kisah rahsia kejayaan beliau
Rasanya sudah ramai yang tahu tentang kesusahan lampau saya kerana banyak majalah menyiarkan cerita itu. Niat saya tiada lain, hanya mahu menjadi pencetus semangat untuk wanita di luar sana. Biar mereka tahu, sebagai manusia jangan terlalu mengharapkan orang lain untuk berjaya dalam hidup.
Saya pernah jadi penoreh getah, sambil-sambil itu melakukan bermacam-macam kerja kampung untuk menampung hidup. Malah pernah juga cuba berniaga kedai runcit, menyertai MLM dan bekerja kilang.
Apabila berjaya dengan perniagaan Sendayu Tinggi, saya mula sedar manusia perlu ada tiga sifat jika mahu berjaya. Pertama, mereka mesti mengorak langkah untuk memulakan perkara kecil dalam diri. Kemudian, jangan pernah berkata tidak sebelum mencuba kerana tiada apa yang mustahil. Ketiga, jangan suka menyalahkan orang lain.
Nilai sepuluh sen
Bila sudah berjaya mengumpul kekayaan, tiap-tiap tahun saya pergi umrah. Ada banyak peristiwa yang dialami di tanah suci namun ada satu pengalaman yang paling menarik. Ia berlaku ketika saya tidur lalu bermimpi, satu suara menyuruh saya membaca beberapa ayat daripada surah Al-Baqarah.
Sekembalinya saya ke tanah air, saya terus mencari tafsir Al- Quran. Saya mendapati antara maksud ayat yang disuruh baca itu ialah mereka yang mendapat hidayah namun jika memalingkan mukanya, mungkin tiada lagi hidayah untuknya selepas itu.
Saya memang sudah lama terdetik mahu berganjak ke alam (fasa) lain sebaik sahaja usia mencecah 40 iaitu membuat persediaan untuk mati. Saya mula melihat betapa kehidupan di dunia ini sangat singkat, indah dan perlu dinikmati. Saya sedih mengenang ramai orang yang berjaya dalam perniagaan tetapi hidup tidak bahagia.
Ketika saya mengejar dunia, hidup dirasakan huru-hara. Pernah saya beli sebuah kereta dengan harga RM1 juta. Setiap kali tiba di satu-satu tempat, saya senang melihat banyak mata memandang dan berbisik-bisik kagum. Namun lama-kelamaan saya tersedar, rasa bangga melihat kekaguman orang itu menimbulkan perasaan riak dan mahu menunjuk-nunjuk.
Jika syiling sepuluh sen terjatuh, pernah satu ketika saya tidak mahu mengutipnya semula. Waktu itu saya memikirkan kelas sebagai seorang jutawan. Tetapi hari ini, saya tidak mahu lagi bersikap begitu. Saya mahu buang rasa riak, sebab nilai duit sepuluh sen itu besar nilainya pada sesetengah orang dan tidak patut dibazirkan begitu sahaja.
Saya tidak pandai mengaji dan tidak tinggi ilmu agama. Jadi saya mengupah seorang ustazah yang tinggal bersama di rumah ini untuk mengajar serta seorang ustaz untuk berkongsi ilmu agama. Sehari setiap minggu, rumah saya dibuka untuk orang ramai menyertai majlis ilmu yang dibuat di sini.
Impian saya yang masih belum tercapai ialah membina sebuah kompleks hasil perniagaan. Di kompleks berkenaan saya mahu membangunkan aktiviti dakwah di samping memberikan kehidupan kepada fakir miskin menerusi perkongsian ideologi perniagaan.
Saya tidak mahu golongan susah yang saya bantu ini memandang saya sebagai sumber kewangan. Saya tidak memberikan mereka ‘ikan’ tetapi ‘pancing’ untuk mengubah kehidupan. Caranya saya beri mereka produk untuk dipasarkan. Saya juga mengambil kuih, kerepek dan lain-lain daripada mereka untuk dijual.
Satu lagi impian yang sedang diusahakan, saya mahu bina sebuah rumah perlindungan untuk anak yatim piatu dan mualaf. Rumah sudah ada, tenaga pengajar pun tidak ada masalah. Cuma tinggal mencari bayi dan kanak-kanak untuk dibesarkan dengan pendidikan akademik berserta ilmu agama di rumah tersebut.
Kini mula berpurdah
Purdah ini sudah lima bulan saya pakai. Bukan sebab alim, dan bukan juga sebab H1N1. Sebaliknya inilah antara cara saya menjaga hati daripada dirasuk perasaan riak. Bila mengenakan purdah, tiada orang yang mengenali saya jadi tiada lagi layanan istimewa yang biasa saya dapat.
Saya tidak malu untuk mengaku, selama ini memang saya pakai tudung tetapi hati masih kotor. Ini kerana walaupun memakai tudung saya sering kalah bila syaitan berbisik supaya bersolek setiap kali ke luar rumah sesuai status selaku pengasas produk kecantikan.
“Kau kenalah pakai baju yang menampakkan kelangsingan, barulah orang tahu produk kau bagus” – itu juga antara bisikannya yang sering menewaskan saya. Barangkali ketika itu saya antara wanita akhir zaman yang disebut dalam hadis ‘menutup aurat tetapi masih bertelanjang’ .
Sebagai majikan pula, kadangkala saya memarahi pekerja kerana mahu semuanya serba sempurna. Saya menjadi sungguh takut apabila tersedar dan berfikir bagaimana pula saya di sisi majikan paling besar iaitu Allah Taala? Dia pun berhak marahkan saya kerana sungguhpun solat, di mana zikir dan amalan sunat bagi menyempurnakan lagi amalan kepadanya?
Syukurlah, perubahan yang dibuat melimpahkan bahagia dalam hidup. Anak-anak (Nurhayati, Alif Syukri, Aiman Hazim, Nurazizah dan Nurain Sufiyah) dan suami melengkapkan lagi dunia wanita ini.
Kini hari-hari saya lalui sambil meneguk kelazatan ilmu akhirat. Melayan keletah anak-anak, mengulit orkid, epal Madura, daun kesum, kedondong, kari, limau purut dan pokok herba lain; juga melayan burung, ayam, lampam, puyuh, puyu dan tilapia melengkapkan lagi kediaman bak syurga dunia yang saya gelar Sorga Ammi.
Sesudah solat Subuh, tatkala berdiri di balkoni rumah menyaksikan kabus berlalu dibawa angin sambil merenung kalam-kalam bukit , saya semakin yakin betapa perlunya saya bersyukur menjadi hamba yang dilimpahi kasih sayangNya.

Tokoh usahawan yang saya kagumi



 Datuk Wan Mohammad Sani Salleh



Tokoh ini cukup memberi motivasi kepada saya setelah mengkaji dan melalui pembacaan mengenai kisah-kisah kejayaan demi kejayaan yang telah beliau cipta walaupun dalam jangka masa tempoh yang terlalu singkat. Beliau merupakan Dato Wan Mohamad Sani Salleh yang sangat terkenal dengan syarikat SANI Express. Sekarang beliau berusia 38 tahun dan di lahirkan pada 24 julai 1976 di Kuala Ibai Terengganu. Beliau adalah anak keempat dari enam beradik dan mempunyai Diploma Pengurusan Pernigaan Kolej Sunway pada tahu 1994. Jawatan yang di sandang adalah Pengarah Urusan United Sdn Bhd ( Sani Express Sdn Bhd, Sani Properties Sdn Bhd dan Sani Hotel Sdn Bhd). Beliau juga telah dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah (Jun 2009) dan Anugerah Usahawan Cemerlang Dewan Perniagaan Melalyu Malaysia (DPMM) Kuala Lumpur (April, 2009)

Jejaka berusia 38tahun berkelulusan Diploma Pengurusan Perniagaan Universiti Kolej Sunway ini merupakan antara usahawan merangkap artis yang paling berjaya dalam bidang perniagaan. Dianugerahkan Darjah Dato Indera Mahkota Pahang (DIMP) oleh Sultan Ahmad Shah yang membawa gelaran dato pada 2009, beliau kini adalah pengarah urusan SANI United Sdn Bhd (SUSB). Sebelum ini Dato Sani Memulakan perniagaan dengan membuka bengkel membaiki kenderaan. Pada tahun 2003 Dato Salleh menubuhkan SUSB dengan 2 lagi rakan kongsi yang menarik diri tak lama kemudian yang menyebabkan Dato Sani terpaksa mengambil risiko dengan seorang pekerja dan hanya pada 2006 barulah menyaksikan SANI Express berada di jalanraya dengan 6 buah bas. Kini setelah 7 tahun berlalu SUSB memiliki lebih 150 pekerja dan mempunyai bangunan 3 tingkat sendiri Wisma Dato’ Sani yang terletak di Klang Sentral.

Bercerita tentang khidmat yang disediakan, 25 buah bas 2 tingkat telah beroperasi yang di lengkapi teknologi keselamatan dari Sweden bernilai 40 juta yang dapat mengesan ketidakfungsian teknikal lebih awal. Kaunter tiket juga diliputi CCTV yang disambungkan dengan ibupejabat bagi melancarkan operasi. Ibu pajabat di Klang sentral juga memiliki pusat latihannya sendiri. Bagaimanapun SUSB tak lari dari krisis apabila kemalangan maut melibatkan bas syarikatnya yang menyebabkan kes ini disiasat oleh LPKP.

Figura ini sebenarnya merupakan seorang yang sangat bercita-cita sendiri dan ketika beliau mencapai satu tahap dimana beliau mula befikir bagaimanakah hidupnya jika terus berada di bidang seni dan hiburan yang benar-benar bergantung kepada bakat dan peminat. Oleh yang demikian, beliau telah mengubah arah tuju hidupnya dengan memulakan perniagaan perkhidmatan bas ekspres.

Destinasi ke Pantai Timur sudah ditawan dan kini semakin ligat meneroka destinasi ke Alor Setar di utara.Lebih mengagumkan, bermula bulan ini 25 bas dimiliki, semuanya bas dua tingkat yang tampak elegen dan semestinya menjanjikan keselesaan.Bagi Wan Mohd Sani atau lebih mesra dengan panggilan Sani, apa dikecapinya hari ini di luar jangkaan, malah tidak pernah diimpikannya. Beliau memulakan perniagaan atas dasar minat dan mahu merubah kehidupannya ke tahap lebih baik.

“Biasalah, dulu masa jadi artis memang saya main-main. Masuk industri hiburan, jadi model, penyanyi dan pelakon sehingga lama kelamaan saya sedar sampai bila saya harus begitu. Ketika itu hidup sekadar untuk cari makan dan hiburkan diri sendiri. Bukan saya kata bidang hiburan tak menjanjikan kejayaan, tetapi biasanya sukar untuk cemerlang dalam bidang itu,” adalah kata-kata figura hebat yang dipetik dari artikel hasil temuramah wartawan hiburan di Wisma Dato Sani di Klang Sentral, Klang bersama rakan karibnya, Pengarah Urusan Federal Malay Holding Sdn Bhd, Datuk Sharifuddin Musa.

Wisma tiga tingkat dinamakan Wisma Dato Sani di Klang Sentral itu serba lengkap. Selain menjadi pusat operasi, wisma itu dilengkapi asrama, pusat latihan dan surau. Paling menarik, segala operasi di kaunter tiket Sani Express di setiap negeri dipantau secara langsung menerusi kamera litar tertutup yang dipancarkan terus ke wisma berkenaan. Menurut Sani, selain minat, antara faktor kejayaannya adalah sikapnya yang tidak malu bertanya dan belajar daripada sesiapa
 sahaja.

menurut beliau, dia bukanlah datang dari orang yang berpendidikan tinggi. Saya belajar daripada orang berpengalaman, malah dengan sesiapa saja. Dengan pemandu bas saya belajar, dengan mekanik saya belajar, malah dengan orang yang pernah gagal juga saya belajar kerana kegagalan itu akan saya jadikan iktibar.Daripada situ kita dapat ilmu, malah sampai sekarang saya masih belajar. Saya buat analisis dan kajian sendiri, baru kita boleh kendalikan perniagaan dengan baik”.beliau memberi tumpuan 100 peratus kepada perniagaan.

SANI Express mensasarkan untuk memiliki 100 bas dan meneroka semua laluan di negara ini dalam tempoh tiga tahun lagi. Menurut beliau, sebanyak RM100 juta akan dilabur untuk tujuan itu dan beliau mensasar untuk memiliki 500 kakitangan dalam tempoh berkenaan. Selain itu, beliau juga melibatkan diri dalam perniagaan perhotelan dan hartanah.

Selasa, 15 April 2014

Ikon Usahawan Berjaya Datuk Maznah Hamid



Tokoh usahawan yang sungguh menarik minat saya kali ini ialah seorang wanita yang cukup komited dan sangat gigih dengan bidang yang beliau ceburi sekarang. beliau adala Datuk Maznah Hamid seorang wanita yang di beri gelaran "Iron Lady". Dengan keazaman dan cita-cita yang tinggi, sesuatu perkara adalah tidak mustahil walaupun bidang yang di ceburi adalah lebih familiar di kalangan kaum lelaki. Beliau merupakan wanita pertama di Malaysia yang mengetuai sebuah syarikat kawalan keselamatan. Antara lain, Securiforce menyediakan perkhidmatan van sekuriti dan kawalan bangunan. Setelah beroperasi selama hampir 29 tahun, Securiforce kini bangga dapat menyaingi lebih 400 syarikat seumpamanya di negara ini.

Sedikit sejarah hidup Datuk Maznah Hamid yang boleh dikongsi ialah permulaan beliau memulakan langkah pertama dalam bidang perniagaan kawalan keselamatan. Tahukah anda beliau hanya bermodalkan RM5000 sahaja semasa memulakan perniagaan kawalan keselamatan pada tahun 1981.Pada awal pembabitan dalam perniagaan ini, beliau sendiri turun padang sebagai pekerja menguruskan operasi syarikat daripada bill collector,peronda dan pengawal keselamatan sendiri. Disinilah sebenarnya beliau dapat melihat bagaimana operasi perniagaan ini berjalan dan segala permasalahan dapat beliau atasi dan perbaiki. Kecekalan dan kesungguhan beliau membuatkan syarikat beliau berkembang kepada 50 buah cawangan diseluruh negara dengan kelengkapan alat kawalan keselamatan yg moden dan terkini.

Kejayaan beliau memang dicemburui banyak pihak tertuamanya bagaimana beliau dapat menjalankan perniagaan tanpa sesenpun bantuan dari pihak bank. Bagi beliau, modal sebenar dalam perniagaan adalah diri kita sendiri. Beliau sangat komited dalam mendidik masyarakat tentang dunia keushawanan dan kejayaan. Penubuhan MMC (Maznah Motivational Centre) adalah bukti kesungguhan beliau dalam mendidik masyarakat dan melahirkan ramai lagi usahawan yg berjaya.

Beliau kerap kali mengesa supaya kita menjadi orang yg berani merebut kejayaan dan peluang dan bukan sekadar menjadi pemerhati dalam kejayaan orang lain. TANPA keberanian, impian hanya tinggal impian..Inilah kata-kata hikmah Iron Lady Malaysia ini yang telah membawanya ke puncak kejayaan pada hari ini. Menjalankan perniagaan kawalan keselamatan menuntut keberanian yang luar biasa. Kata Pengarah Eksekutif, Kumpulan Securiforce Sdn. Bhd. (Securiforce), Datuk Maznah Hamid.

Sabtu, 22 Mac 2014

Siapakah Di Sebalik Air Asia??

Tokoh pilihan kali ini sungguh menarik minat saya untuk berkongsi besama-sama kerana saya cukup kagum dengan kisah kejayaan beliau.  Beliau merupakan seorang tokoh usahawan yang luar biasa berketurunan India,  iaitu Dato’ Tony Fernandes pengasas dan peneraju syarikat penerbangan tambang murah Air Asia.




(Latar Belakang)

Tony Fernandes yang dilahirkan pada 30 April 1964 kepada suatu keluarga campuran Portugis  Goa(India) dan Portugis Melaka. Bapa beliau bernama  Dr. Stephen Edward Fernandes dan Ibu beliau, Ena Dorothy Fernandez.
Semasa kecil beliau kerap kali mengikuti ibunya, seorang peniaga kecil kecilan, ke majlis majlis para  peniaga tupperware. Dalam usia 13 tahun beliau  melanjutkan persekolahan di England  pada tahun 1977 dan seterusnya lulus di London School of Economics pada  tahun 1987.
Beliau mulai alam perkerjaan di Virgin Atlantic sebagai auditor, kemudian sebagai kontroller kewangan di sebuah syarikat dimilik oleh Richard Branson, iaitu Virgin Record sehingga 1989.
Sekembalinya  ke Malaysia beliau dilantik sebagai pengarah urusan Warner Music (Malaysia) Sdn Bhd.  Sewaktu bertugas di syarikat ini beliau berjaya mencetus suatu  ‘revolusi’ dalam muzik etnik, nasyid dan dangdut kedalam arus perdana muzik tanah air. Beliau berkhidmat dalam kumpulan ini dari 1992 sehingga 2001, akhir sekali memegang jawatan vice  presiden kumpulan  bagi kawasan Asia Tenggara.
(Air Asia)
Apa yang amat menarik tentang biografi Dato’ Tony ialah penglibatan beliau sebagai penggerak utama dalam penubuhan dan operasi  Air Asia,  syarikat penerbangan tambang murah yang paling berjaya di Asia. Bermula dengan dua buah kapal terbang Boeing 737  yang  usang tatkala masih dimiliki kerajaan, kini kumpulan  Air Asia yang diterajui Tony Fernandes sejak tahun 2001  telah maju dari setapak ke setapak sehingga kini memiliki 62 buah kapal terbang dalam perkhidmatan dan 277 buah lagi dalam pesanan. Setelah kesemua kapal terbang ini beroperasi nanti, ini mungkin menjadikan kumpulan penerbangan Air Asia sebagai kumpulan penerbangan tambang murah yang tebesar di dunia.
Kini kumpulan Air Asia berkhidmat melalui  142 laluan dan 78 destinasi  dengan sejumlah 400 penerbangan sehari  di Asia, dan juga ke Australia dan Eropah. Dalam tahun 2011,  Air Asia telah menerbangkan sejumlah 30 juta penumpang dari pelbagai negara.
(Cara cara Tony menempuhi Halangan)
Kemampuan berkomunikasi timbul daripada personaliti yang yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi yang di asah semasa belajar dan berkhidmat di England dan di Kuala Lumpur. Selain itu beliau juga menunjukkan sikap minima  ego dan bersedia forgive and forget yang membolehkan beliau membuat pertimbang yang terbaik untuk syarikat dalam sesuatu waktu.  Misalnya dalam berurusan dengan Kerajaan Singapura untuk mendapat kebenaran mendarat di sana beliau telah berhadapan dengan rintangan demi rintangan  yang berlarutan, yang biasanya melunturkan semangat orang biasa. Walaupun demikian beliau masih  boleh lagi berinteraksi dengan pegawai pegawai kerajaan Singapura dengan baik, sambil  menganggap detik detik pahit yang dilalui  hanya sebagai cabaran dalam mengembangkan laluan Air Asia. Kini Air Asia mengadakan 26 penerbangan pergi balik dari Kuala Lumpur ke Singapura sehari.
Sebelum itu, cabaran yang pertama beliau lalui timbul dari sikap masyarakat perniagaan Malaysia sendiri yang  bersikap sinikal terhadap rancangan beliau menubuhkan syarikat penerbangan. Perkara ini tidak melunturkan semangat beliau, malah dengan pantas, melalui Dato’ Pahamin Rajab, belia berjaya meyakinkan Tun Mahathir, Perdana Menteri ketika itu, untuk meluluskan rancangan beliau, mulai dengan cara mengambil alih syarikat penerbangan  Air Asia, sebuah syarikat yang nyata gagal dan dimiliki oleh kerajaan.
Setelah mulai berjaya dengan syarikat Air Asia, beliau mengalih fokus untuk menjadikan Lapangan Terbang Subang sebagai hub penerbangan tambang murah di rantau Asean. Beliau tahu ini satu perkara yang amat sukar diterima kerajaan kerana negara perlu mengukuhkan kedudukan KLIA yang baharu sahaja siap diketika itu. Tetapi Tony never takes no for an answer. Beliau menggunakan media massa untuk mempengaruhi masyarakat dan kerajaan. Akhirnya kerajaan bertegas menolak cadangan Air Asia demi kepentingan negara, tetapi dalam proses ini Tony berjaya mendapat laluan laluan udara yang baru serta mendapat LCCT yang baru di KLIA dengan kadar tariff yang berdiskaun. Ini  membantu Air Asia mengukuhkan daya saing  ketika berhadapan dengan Malaysia  Airlines dan syarikat syarikat penerbangan yang lain.
Demikian juga Tony menempuhi beberapa cabaran dalam usaha mendapat hak mendarat di lapangan terbangan Bangkok, Jakarta, Hong Kong dan banyak lagi  sama ada di Asia ataupun  atau benua benua lain. Namun nampaknya pengalaman di Singapuralah yang paling mencabar.
Akhir sekali, anda  jangan lupa peranan pendidikan dalam membantu Tony dalam menjayakan kerjayanya. Beliau adalah seorang Fellow Member of Association of Chartered and Certified Accountants (ACCA) dan berkelulusan dari London School of Economics

10 Mitos Keusahawanan

Kepada anda yang berhasrat untuk menjadi usahawan, anda tentu lah telah berbincang atau memyatakan hasrat murni anda kepada sahabat atau saudara terdekat, ibu bapa atau isteri anda. Anda mungkin juga telah mendengar dari mereka tentang berbagai cerita tentang usahawan..Ada yang memberikan maklumat yang baik, nasihat atau perangsang. Ada juga yang bercerita tentang kegagalan usahawan lain yang mereka ketahui. Mungkin anda juga ada mendengar tentang mitos keusahawan, bagaimana untuk menjadi usahawan berjaya, perlukah anda mencari ilmu dahulu atau meneruskan atau menghentikan hasrat anda. 10 mitos keusahawanan ini adalah berdasarkan dari penyelidikan oleh pakar keusahawanan.


Mitos #1
Usahawan hanya melakukan tanpa perlu berfikir.

Walaupun usahawan berkecenderungan dan pantas untuk bertindak tetapi mereka juga adalah pemikir, perancang dan berhati-hati. Kerana itu setiap langkah permulaan terhadap keusahawan mereka diperlukan untuk membina pelan perniagaan yang baik dan matlamat mudah dicapai.

Mitos #2
Usahawan dilahirkan bukan diwujudkan.

Mitos ini mengambarkan usahawan memang dilahirkan semulajadi, keusahawanan tidak boleh dipelajari. Tetapi pada masa ini  keusahawan diwujudkan dengan kaedah dan model, perlu melalui proses kemahiran, belajar melalui kajian kes dan pengetahuan dari bengkel dan seminar keusahawanan.

Mitos #3
Usahawan mestilah pencipta (inventor)

Kekeliruan ini selalu terjadi, sebenarnya untuk menjadi usahawan pelbagai peluang boleh diraih. Apa yang perlu adalah kebolehan dalam mengenalpasti peluang dan kreativiti. Ada manusia yang inovatif tetapi mereka bukan usahawan, contohnya para penyelidik dari organisasi kerajaan atau universiti.

Mitos #4
Usahawan tidak mementingkan pelajaran dan sosial
Mitos ini diadaptasikan dari rekod kejayaan usahawan yang wujud dari kegagalan pelajaran tapi berjaya dalam perniagaan. Tetapi ketika ini para usahawan dilihat sebagai role-model, mereka berjaya dalam bidang pelajaran, menjadi pemimpin masyarakat dan sebagai pemangkin ekonomi negara.

Mitos #5
Mesti memenuhi ciri-ciri atau karektor keusahawan

Ada orang mengariskan berbagai ciri-ciri dalam diri bagi menjadi usahawan. Tetapi adakah semua manusia boleh memenuhi semua sifat tersebut. Ciri-ciri ini telah dikumpulkan oleh para penyelidik dari berbagai sumber dan sudah pasti bukan berdasarkan atas diri seorang usahawan. Ciri utama usahawan adalah bersedia untuk mengambil risiko dan memantapkan motivasi diri.

Mitos #6
Usahawan bergantung pada wang

Benar, untuk menjalankan perniagaan usahawan memerlukan wang. Tetapi banyak perniagaan yang gulung tikar disebabkan kegagalan untuk mengurus kewangan dengan baik. Selain dari itu tiada kemahiran dalam pengurusan, tiada pengetahuan dalam pelaburan, lemah dalam pengurusan keawangan dan pelan perniagaan yang tidak strategik juga penyumbang kepada kegagalan perniagaan.

Mitos #7 
Usahawan bergantung pada nasib

  Selalu kita dengar kata-kata ini "berlaku pada masa yang betul dan pada tempat yang betul".  Sebenarnya nasib boleh berlaku jika persediaan cukup untuk mengarap peluang. Persediaan terhadap keusahawanan adalah yang terbaik untuk mencapai kejayaan. Apa yang tersembunyi dibelakang nasib itu adalah persediaan, pengetahuan, keazaman, kemahuan dan inovatif.

Mitos #8
Perniagaan tidak tersusun dan kacau bilau

Mitos ini adalah datangnya dari mereka yang langsung tidak mengetahui selok-belok perniagaan, mereka hanya membuat tanggapan. Sebenarnya usahawan bergerak dari berbagai sudut, mereka sentiasa melihat banyak peluang didepan mata maka mereka kelihatan seperti tidak terurus atau tidak terkawal. Sebenarnya mereka mempunyai matlamat dan sistem yang kadangkala boleh dihuraikan kadangkala tidak. Maka dari kacamata orang luar ianya kelihatan amat janggal sekali, tetapi usahawan berjaya dengan cara mereka.

Mitos #9
Kebanyakan usahawan gagal kali pertama

Banyak usahawan gagal pada kali pertama dalam perniagaan, dan mereka berpegang dengan kata-kata " jika gagal kali pertama, usaha dan terus usaha". Benar, kegagalan kali pertama mengajar kita untuk bersedia. 
 Banyak usahawan terbukti telah berjaya dalam perniagaan dalam kali pertama, ini kerana sebelum mereka bergelumang dalam dunia keusahawanan mereka telah bersedia dengan pengetahuan keusahawanan.

Mitos #10
Usahawan memperjudikan nasib dan pengambil risiko

Pandangan orang terhadap keberanian usahawan mengambil risiko telah diputar-belitkan. Adakah benar usahawan mengambil risiko dan memperjudikan nasib dengan membabi-buta. Sebenarnya usahawan berhadapan dengan risiko yang boleh diatasi. Kebiasaannya usahawan yang berjaya adalah mereka yang berusaha keras melalui perancangan dan persediaan untuk meminimumkan risiko dan mengawalnya menepati visi yang dirancangkan.

Kisah Kejayaan Faiza Bawumi Sayed Ahmad








Nama:
Faiza Bawumi Sayed Ahmad
Syarikat: Faiza Marketing Sdn. Bhd

Beliau tidak menyangka pengalamannya sebagai juruwang di kedai bapanya dahulu telah mendorongnya bergiat serius sebagai peniaga.Menurut Faiza, kejayaannya sekarang bukan diperolehi dengan mudah, tetapi setelah mengharungi segala cabaran selama 43 tahun berkecimpung dalam dunia perniagaan.

Menurut Faiza beliau datang ke Malaysia pada tahun 1964 kerana mengikut suaminya.Disebabkan sikapnya yang tidak betah duduk diam, dia mengambil upah menjahit sulaman dan menjual pelbagai barangan dapur.Faiza kemudian membuat rempah kari di bawah jenama Bunga Raya dan mengedarkannya di kedai-kedai.

Dengan mempunyai kedai sendiri, beliau mula belajar mengenali pelbagai jenis beras. Sebelum menjual beras, beliau terpaksa pergi dari satu kedai ke kedai lain bagi mendapatkan maklum balas sama ada mereka akan membeli berasnya jika beliau menjualnya. Atas respons yang positif, Faiza memohon lesen pemborong beras dan menjual pelbagai jenis beras termasuk ponni, basmathi, beras wangi serta beras Siam.

Beliau yang mempunyai 200 pekerja tetap dan lebih 300 pekerja kontrak berkata, dengan penglibatan dalam penghasilan produk tersebut ia memberi pilihan kepada orang Islam untuk mendapatkan produk yang bermutu tinggi dan tanpa diragui status halalnya.

Syarikat milik Faiza kini mengedar lebih 21 jenama beras di negara ini temasuk yang paling dikenali, "Herba Ponni Taj Mahal" dan anak syarikatnya, iaitu Faiza Marketing Sdn Bhd pula melibatkan diri dalam mengilang pelbagai jenis rempah termasuk rempah Raja Kari, rempah Bukhari dan terbaru, rempah rendang.

Pada usia emas, Hajah Faiza masih lagi aktif mengurus bisnessnya. Beliau dibantu oleh lima orang daripada tujuh anak-anaknya di samping ratusan orang pekerja. Kini beliau melakukan kerja-kerja amal di bawah pergerakan wanita UMNO Batu Pahat, Johor. Hajah Faiza berpegang teguh kepada prinsip bagi maju dalam bisnes individu itu perlu rajin berusaha, tifak mudah patah semangat  dan perlu mengamalkan sikap berjimat-cermat. Segala usaha bisnes walaupun bermula secara kecil-kecilan tidak boleh dipandang mudah kerana kesusahan itu dapat membina daya ketahanan diri kepada usahawan.


Sabtu, 15 Mac 2014

Ciri-Ciri Usahawan Berjaya

Sebagai seorang usahawan online, kita perlu merancang dengan baik, sama ada aktiviti perniagaan online, urusan peribadi ataupun projek-projek yang sedang dijalankan dengan sistematik. Oleh sebab itu, saya sering mengingatkan diri saya dan orang lain supaya menjadi lebih menepati masa dan sentiasa peka pada peluang untuk mencapai target.
Di sini saya kongsikan 5 tips bagaimana kita boleh menjadi lebih produktif sepanjang bergelar usahawan internet ini supaya ia dapat memberi manfaat kepada semua newbie di luar sana:
1. Mempunyai objektif yang spesifik.
Penting untuk kita mempunyai matlamat dalam hidup supaya bisnes kita laksanakan ini akan menjurus ke arah pencapaian matlamat dan gol yang kita sendiri tetapkan. Teknik penetapan matlamat secara spesifik masih kekal relevan sebagai asas utama dalam penghasilan kerja yang berkesan. Jika kita tiada matlamat yang jelas dan baik maka sukarlah untuk mencapai aras kejayaan yang diharapkan, oleh itu teknik ini mampu memberikan kesan yang positif terhadap keperibadian diri, kerja dan perniagaan kita.
2. Senaraikan segala tugas dan tepati kerja tersebut secara prioriti dan sistematik
Dalam hidup kita ini terlalu banyak perkara yang difikirkan sehingga boleh menyebabkan kita kelam kabut jika tidak disusun dengan baik. Cuba anda senaraikan matlamat dan tugas yang perlu dilaksanakan secara sistematik terlebih dahulu. Projek mana yang ada deadline, yang mana boleh ditangguh terlebih dahulu, yang mana ada yang penting dan perlu diberikan perhatian serius. Semuanya perlu ditetapkan dengan lebih teliti.
3. Kawal setiap aktiviti dan dan tugasan dengan kerap
Kadang-kala setiap part kerja ataupun sesuatu mengambil masa yang lama untuk diselesaikan. Oleh itu kita perlu memberi perhatian, mengawasi setiap proses dengan jadual yang efisyen. Misalnya proses pembinaan laman web, anda boleh tetapkan masa 3 hari maksimum untuk menyiapkan design layout dan jangan lebih dari itu. Manakala proses upload/restore web dan database ke server dalam masa tidak lebih 1 hari dan sebagainya. Anda boleh outsoursekan kerja-kerja anda kepada orang lain, namun pastikan mereka dapat menyiapkan tugasan anda mengikut target yang ditetapkan.
4. Kurangkan aktiviti yang kurang produktif
Kebanyakan usahawan internet terlalu asyik dengan sesuatu perkara mahupun lupa task yang telah ditetapkan. Kurangkan aktiviti yang tidak produktif seperti :
- Kurangkan YM, MSN, Mirc, Skype dan lelain tanpa tujuan khusus yang bermanfaat.
- Kurangkan masa menonton tv atau main game permainan video
- Jangan terlalu leka dengan facebook, twitter atau blog hiburan sehingga lupa kerja yang perlu dilakukan
- Periksa emel 4 kali sehari iaitu pagi, tengah hari, petang dan malam.
- Kurangkan melepak dan membuang masa tanpa tujuan khusus yang bermanfaat.
Bukan tak boleh langsung untuk bersantai dengan aktiviti di atas, namun bataskan aktiviti tersebut dan hanya ketika anda merehatkan minda sahaja anda boleh gunakan untuk aktiviti di atas.
5. Beri ganjaran kepada diri sendiri bila sesuatu matlamat hampir sampai
Setelah bersusah payah berhari-hari nak menyiapkan sesuatu projek, hadiahkan suatu ganjaran kepada diri sendiri sebagai peransang dan motivasi untuk lebih bersemangat. Misalnya, sekiranya anda telah mencapai target jualan sebanyak 100 unit, anda boleh memberi ganjaran kepada diri sendiri dengan memberi tablet PC baru. Terpulang apa jenis hadiah pun asalkan tidak menepati bajet anda. Ini penting untuk merangsang motivasi diri kita untuk lebih berjaya pada masa depan.
Ada banyak lagi tetapi saya rasa yang asas lebih baik dikuasai terlebih dahulu. Ini hanyalah sebahagian daripada tips asas yang perlu kita terapkan dalam kerja seharian. Moga dengan tips ini akan memberi manfaat pada diri saya dan juga kepada semua pembaca.